Ada Apa dengan Tudung Cikgu Choy

Rombongan I-Guru melawat Cikgu Choy Yi San (dua dari kanan)
Diskriminasi dan penindasan terhadap
pekerja Islam di premis bukan Islam sering diperkatakan. Ia telah
mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak puas hati kepada penganut Islam.
Ia juga memberi mesej buruk bahawa kedudukan orang Islam di negara Islam
sendiri tidak dihormati.
Syiar Islam direndah-rendahkan walaupun
hanya berkuasa dalam premis yang terhad iaitu sebuah sekolah. Mereka
telah berani dengan sewenang-wenangnya mengambil tindakan ekstrim
mengugut dan mendiskriminasi seorang muslim yang bekerja di premis
tersebut.
Yang terbaru seorang guru muallaf telah
diugut keselamatannya kerana beliau hanya menggunakan hak peribadinya
sebagai seorang muslim untuk mengamalkan amalan agamanya sendiri tanpa
menyakiti dan menghina bangsa lain.
Choy Yi San (Cikgu Choy), 25 tahun,
berasal dari Seremban. Beliau merupakan anak kedua daripada dua orang
adik-beradik. Beliau memeluk agama Islam ketika usianya 23 tahun. Pada
mulanya, Cikgu Choy tidak bertudung kerana belum bersedia untuk
mendedahkan keislamannya kepada keluarga dan rakan-rakannya.
Pada pagi Ahad 19 Januari, Ikatan
Guru-guru Muslim Malaysia (I-Guru), sebuah agensi di bawah Ikatan
Muslimin Malaysia (ISMA) telah menziarahi Cikgu Choy yang menetap
sementara di rumah keluarga angkatnya di Kota Tinggi untuk mendengar
sendiri kisah yang dilalui oleh guru muda itu.
Rombongan disambut dengan ceria oleh
Cikgu Choy dan keluarga angkatnya. Dalam pertemuan ringkas itu, kami
mendengar luahan hati Cikgu Choy berkenaan kesnya yang kurang mendapat
perhatian daripada pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai
guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi pada
awal tahun 2013 selepas menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan di
sebuah institut perguruan.
AZAM BARU 2014
Selepas setahun mengajar, beliau
bertekad memakai tudung di sekolah sebagai salah satu azam di tahun
baharu. Identiti baru sebagai muslimah sejati yang bertudung dan menutup
aurat telah lama tersemat di hati sejak memeluk agama Islam.
Hari Rabu, 1 Januari yang merupakan
hari pertama persekolahan sesi 2014 adalah hari pertama beliau bertudung
di sekolah. Kemunculan beliau bertudung ternyata tidak disenangi oleh
pihak pentadbiran sekolah. Beliau telah menerima jelingan sinis daripada
daripada beberapa orang termasuk Guru Besar, Chiew Swee Tuan.
Namun, Cikgu Choy meneruskan tekadnya bertudung. Pada hari berikutnya, beliau menerima reaksi yang sama.
Pada 6 Januari, Cikgu Choy ke pejabat
Guru Besar untuk membincangkan agihan tugas guru kerana beliau dilantik
sebagai PK Pentadbiran lantikan dalaman. Guru Besar mengambil
kesempatan pertemuan itu untuk menyoal dan memberi “nasihat” mengenai
keIslaman Cikgu Choy. Antara “nasihat” beliau ialah masih berpeluang
lagi untuk kembali ke agama asal, masih banyak pilihan lagi, kenapa
hendak mengurung diri dalam agama Islam. Tetapi Cikgu Choy tidak
langsung mengendahkan “nasihat” itu.
Pada 7 Januari, Pengerusi Lembaga
Pengurusan Sekolah, Encik Phang Ah Ngang telah datang ke sekolah untuk
memeriksa perkembangan pertukaran jubin Bilik Sumber Sekolah. Beliau
tersempak dengan Cikgu Choy dan bersapa seperti biasa walaupun agak
terkejut dengan penampilan Cikgu Choy yang bertudung, kemudian beliau ke
pejabat Guru Besar.
DIUGUT BUNUH
Tidak lama kemudian, Guru Besar meminta
Cikgu Choy ke pejabatnya. Pada awal pertemuan, Encik Phang memberi
pandangan negatifnya mengenai keIslaman Cikgu Choy. Keadaan semakin
tegang dan serius apabila Cikgu Choy menerima 3 ugutan dari Encik Phang
yang melibatkan maruah dan keselamatan Cikgu Choy jika tidak membuka
tudung semasa bertugas.
Pertama: Jika beliau tidak membuka tudung, beliau dan keluarganya akan dimalukan di sekolah.
Kedua: Jika beliau masih tidak membuka
tudung, pihak sekolah akan memanggil wartawan lalu beliau dan
keluarganya akan dimalukan di hadapan wakil media itu dan disiarkan di
akhbar.
Ketiga: Jika beliau masih tidak membuka
tudung, En Phang akan menembak Cikgu Choy dan kemudian En Phang akan
menembak mati dirinya sendiri.
Pada petang 7 Januari itu juga, Cikgu
Choy diminta hadir ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) oleh seorang
Pegawai PPD. Maka Cikgu Choy berniat untuk berjumpa dengan Bapa Angkat
Sekolah untuk mendapat pendapat beliau terhadap masalah yang baru
ditimpa itu selepas perjumpaan dengan Pegawai PPD tersebut. Tiba sahaja
di PPD, baru Cikgu Choy mengetahui bahawa pegawai PPD tersebut ingin
memberi zakat peribadi kepada beliau. Pegawai PPD tersebut bertanya sama
ada Cikgu Choy mempunyai masalah setelah memeluk agama Islam. Cikgu
Choy menyatakan baru timbul masalah dengan penduduk Telok Sengat. Beliau
menggunakan istilah “penduduk Kampung” kerana masih tidak tahu
mengajukan kepada siapa. Pegawai PPD tersebut mencadangkan untuk terus
berjumpa dengan Timbalan PPD Kota Tinggi.
Dengan segera, Cikgu Choy berjumpa
dengan Timbalan PPD dan memberitahu masalah yang dialami itu untuk
mendapat pandangan Tuan Timbalan PPD.
Cikgu Choy dinasihati untuk membuat
laporan polis kerana ugutan bunuh bukan sesuatu yang boleh dipandang
remeh. Beliau kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis
Teluk Sengat.
Selepas laporan polis dibuat, pihak PPD
bertindak segera dengan menukar Cikgu Choy ke sekolah lain di Kota
Tinggi atas alasan keselamatan.
Walaubagaimanapun, ugutan yang diterima
tidak melemahkan semangat Cikgu Choy untuk meneruskan hidup sebagai
seorang muslimah. Beliau tidak merasa gusar dengan peristiwa yang
berlaku, bahkan merasa bertuah kerana apa yang berlaku ini telah
menjadikan keislamannya bukan lagi rahsia. Apa yang beliau bimbangkan
bahawa tudungnya perlu dibuka telah dapat diatasi. Beliau masih boleh
memakai tudung walaupun diugut.
Menurut Cikgu Choy lagi, kes ini bukan
isu terpencil di sekolah tersebut bahkan terdapat beberapa orang murid
perempuan beragama Islam di sekolah itu yang dilarang bertudung oleh
pihak sekolah. Perkara ini bercanggah dengan kenyataan Guru Besar yang
disiarkan oleh Utusan Malaysia yang mengatakan beliau menghormati
pemakaian tudung oleh orang Islam.
Suatu yang dikesali ialah tiada
tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap pihak
pengurusan sekolah terutamanya En Phang. Meskipun siasatan polis sedang
dijalankan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan ke atas pihak
pengurusan sekolah kerana pihak sekolah telah menafikan hak asasi
seorang muslimah bahkan melakukan tindakan ekstrim dengan pelbagai
ugutan memalukan dan mengancam keselamatan.
Apakah dengan tiada tindakan tegas
daripada pihak berkuasa ini bermakna memberi laluan luas kepada
mana-mana institusi bukan Islam untuk melakukan pelbagai diskriminasi
terhadap pekerja Islam yang bekerja di bawah seliaan mereka?
Adakah tudung seorang muslimah telah dianggap sebagai mengancam keselamatan di sekolah?
Siti Khadijah Salleh
Wartawan ISMA Johor
Wartawan ISMA Johor
http://www.ismaweb.net/v4/2014/01/masih-akan-terbelakah-maruah-pekerja-islam-di-sebalik-kisah-cikgu-choy/
Comments